Siapa tidak kenal Siri Jalanan oleh Teme Abdullah jika anda mengikuti akaun media sosial dan perkembangan beliau? Siri ini ditulis berdasarkan realiti Teme, hampir kesemuanya.
Siri Jalanan bermula dengan buku Pelukis Arkitek Jalanan. Grafik di bawah merupakan muka hadapan buku tersebut.
Pelukis Jalanan mengandungi 215 bilangan muka surat termasuk review oleh Saiful Nang (Group CEO of Colours of Asia Sdn Bhd Group of Companies), Budak Tomato (penulis buku ESC) dan Ad-Dien Abdul Kadir (Karangkraf), seterusnya penghargaan, nota penerbit dan profil di bahagian akhir.
Jadi, apakah manfaat buku Pelukis Jalanan kepada pembaca? (manfaat yang disenaraikan adalah pendapat dan pandangan saya. Anda mungkin mempunyai pandangan lain sekiranya sudah membaca buku ini. Raikan perbezaan.)
Setiap kesukaran disertai kemudahan.
Pernah dengar kan? Surah Al-Insyirah, ayat ke-5 dan ke-6. "...sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan ..." Begitu sukar Teme hendak menghadapi situasinya ketika itu. Kesuntukan masa dan kewangan. Namun, Teme tetap berusaha mengatasi masalah-masalah yang mendatang walaupun ada turun naik. Maka kerana itu, kita ada Allah SWT. La haula wa la quwwata illa billah. Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.
Berusaha dan berserah. Apa kesusahan yang Teme alami? Bermula perjalanannya ke London sehingga akhirnya nama 'Teme' menempah nama dalam Instagram dan Twitter terutamanya dalam kalangan individu yang menyukai hasil tangannya yang unik dan menarik.
Sentiasa berwaspada.
Boleh percaya tetapi kita kena bijak dalam menerima sesuatu fakta atau berita. Begitu juga, kita sepatutnya berhati-hati semasa baru berkenalan dengan seseorang individu. Jangan mudah menilai dari segi luaran lalu membuat kesimpulan. Bukanlah mendorong untuk bersikap prejudis tetapi hati-hati itu lebih baik, bak kata pepatah Melayu, "mencegah lebih baik daripada mengubati." Kemungkinan yang kelihatan jahat itulah baik dan sebaliknya.
Sahabat sejati itu WUJUD.
Teme tidak keseorangan semasa berada di kota London. Sahabat dari tanah air yang sama, Ahmad sentiasa bersamanya. Pada saat Teme kesusahan, Ahmad yang memberikan pertolongan dan begitu juga sebaliknya. Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak mengambil kesempatan antara satu sama lain. Bermacam-macam onak dan duri yang dilalui bersama sepanjang ranjau kehidupan mereka menimba ilmu di kota London, ibu negara United Kingdom.
Satu lagi, masa tidak berpatah balik, tidak mampu diulang semula melainkan mengikut kehendak-Nya. Hukum alam? Memang mustahil.
Jika dulu kita melakukan kesilapan, sekarang kita jadikan pengajaran. Ambil iktibar! Bukan masanya untuk meratapi penyesalan, tidak berbaloi pun.
... Kerana pengalaman inilah anugerah bernilai Allah kepada aku.
- Teme
Pelukis Jalanan membantu para pembaca untuk membuka minda dan meluaskan pemikiran kepada B, C sehingga Z daripada kepompong pemikiran A.
p/s: Banyak sebenarnya kalau nak dihuraikan satu per satu. Saya tak mahu menjadi spoiler kerana itu saya huraikan secara umum dan menyentuh sedikit penceritaan dalam Pelukis Jalanan.

Comments
Post a Comment